29 Mac 2016 - 16:53
IS curi, jual organ cari dana

Kumpulan militan Negara Islam (IS) mela­kukan pelbagai aktiviti sulit termasuk mencuri dan menjual organ manusia dalam usaha mengumpul da­na bagi mengukuhkan gerakan mereka di seluruh dunia.

KUALA LUMPUR 29 Mac - Kumpulan militan Negara Islam (IS) mela­kukan pelbagai aktiviti sulit termasuk mencuri dan menjual organ manusia dalam usaha mengumpul da­na bagi mengukuhkan gerakan mereka di seluruh dunia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara usaha lain untuk memantapkan sumber kewangan mereka adalah menculik, menjual hasil minyak dan artifak sejarah selain melakukan sekatan jalan raya bagi tujuan memungut ‘tol’.

“Kalau dahulu IS tangkap orang Islam yang merokok dan hukum­nya mungkin tembak mati atau melihat pertandingan bola sepak boleh ditembak mati tetapi sekarang hukuman itu boleh dirunding. Sekiranya ditangkap, mereka hanya perlu bayar denda seperti mencuri tidak perlu potong tangan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Wawancara: Belia, Radikal dan Extremesime di Cybernetics International College of Technology, di sini hari ini.

Program yang julung kali diadakan itu turut disertai Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Utusan Malaysia sebagai rakan media.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, hasil daripada kegiatan terbabit, kumpulan IS memperoleh pendapatan sehingga RM3.2 bilion pada tahun lalu.

Malah, jelasnya, bekalan senjata api seperti mortar dan kereta kebal pula dirampas daripada tentera Iraq ketika mereka merempuh masuk Mosul sebelum mencuri emas serta wang daripada beberapa bank di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Penyelidik Iman Research Consulting, Muhammad Nazreen Jaafar memberitahu, perolehan jumlah dana yang besar menyebabkan kumpulan pengganas IS tersebut bertahan dan lebih ke hadapan berbanding Al-Qaeda dan kumpulan terdahulu.

“Kita perlu meneliti sejarah kewujudan IS yang mana pengasas keduanya iaitu Abu Omar Al-Baghdadi adalah bekas tentera dan perisik tentera Iraq yang bekerja dengan Parti Ba’ath.

“Semua rahsia ten­tang kekayaan be­kas Presiden Iraq, Saddam Hussein termasuk sumber minyak beliau diketahui Abu Omar selain menguasai strategi tentera Iraq sehingga mendorong mereka menawan beberapa kawasan strategik di situ,” ujarnya.

Muhammad Nazreen memberi­tahu, Israel antara pelabur utama kumpulan tersebut berikutan membeli minyak yang diseludup de­ngan harga murah malah transaksi dilakukan menggunakan aplikasi Bitcoin bagi mengelakkan mereka dikesan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendakwa, sikap pengguna laman sosial yang terlalu bersimpati juga mendorong kepada pengembangan kumpulan pengganas itu ekoran propaganda yang dimuat naik atas talian dikongsi tanpa me­ngetahui kesan jangka masa panjang.

Tambahnya, berdasarkan kajian, terdapat kira-kira 90,000 akaun rasmi Twitter milik IS yang dilakukan secara jaringan.

Sementara itu, Timbalan Pre­si­den MBM, Jufitri Joha dalam sesi dialog tersebut berkata, ramai golongan belia terjebak dalam keganasan ekoran ingin membantu dan rasa bersalah.
Justeru, beliau menyeru golo­ngan terbabit supaya menyertai badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan sekiranya ingin membantu masyarakat.